FELDA KUMAI

Di hatiku selamanya…


 Powered by Max Banner Ads 

Felda Kumai.. Awal Pembukaan…

Awal Pembukaan:

Felda Kumai dibuka pada tahun 1974 dengan penerokaan hutan dan ladang serta mula menerima  penempatan peneroka pada penghujung 1979 dan awal 1980 dengan pengambilan peneroka dari seluruh negara.

Terdapat peneroka yang berasal dari Perlis hinggalah ke Johor malah turut melibatkan Terengganu dan juga Kelantan dan menjadikan ianya unik dengan percampuran adat tradisi bangsa melayu berbilang negeri.

gambar lama kumai

Berkisar dengan 3 peringkat pengambilan peneroka iaitu peringkat pertama, kedua dan ketiga secara berperingkat sehinggalah berjumlah 530 keluarga secara keseluruhannya. Malah terdapat blok Bakal Calon Peneroka atau dikenali sebagai BCP sebelum diserapkan sepenuhnya sebagai peneroka Felda Kumai.

Seawal penempatan peneroka, setiap peneroka akan diserahkan kebun yang telah ditanam dengan kelapa sawit seluas 10 ekar atau 40,000 meter persegi dan 0.25 ekar atau 1,000 meter persegi untuk kediaman dan kemudahan pembangunan dan nilainya dibayar secara ansuran oleh Peneroka selama 15 tahun.

Pada tahun 2004, peneroka Felda Kumai telah menerima penyerahan geran ladang dan tapak rumah secara individu daripada Kerajaan Negeri Pahang.

felda kumai map

Ketiadaan bekalan air terawat sehingga pertengahan 1980 an bukan semata-mata cabaran tunggal di sini.Bagi anak-anak generasi ke 2 yang sempat merasai tahun-tahun awal semasa pembukaan (bagi berumur 34 tahun keatas ) pasti akan dapat berkongsi bagaimana keperitan kehidupan awal di Felda Kumai.

Bekalan elektrik hanya terbekal sepenuhnya oleh Lembaga Letrik Nasional pada 1990. Sekolah awalnya hanya menumpang di  Sk Felda Mayam sehingga pada 1983.

Manakala sekolah menengah pula hanya mengharap SMK Felda Purun sekitar 12 km  dan SMK Bera, Bandar 32 dan pada sekitar 1997 sebahagiannya ke Sekolah Menengah Triang 3.

Saya mungkin lahir selepas zaman-zaman awal atau masih teringat sedikit sahaja kesusahan tersebut. Cuma saya dapat catatkan beberapa perkara yang masih segar atau teringat. Berikut beberapa perkara yang saya masih ingat dan insyallah akan saya panjangkan ceritanya di catatan yang lain. Ini sekadar permulaan kisahnya…

    • Jalan masuk dari Simpang Kerayong sehingga tahun 1985 masih lagi bertanah merah. Satu kejadian runtuhan jalan sebelum pos Felsco (Felda Security ) simpang ke Triang 1 terpaksa di lencongankan.
    • Air minum dan mandi masih di kongsi di kepala paip di depan rumah . Kalau tak silap 10 buah rumah kongsi satu paip air. 
    • Pernah gajah liar menceroboh blok 12 (Belakang rumah Pak Cik Rahim) waktu tengah malam. Dan Mergastua (Perhilitan) pernah menangkap beruang di Hutan Simpan Chini (hutan dibelakang kawasan Felda Kumai).
    • Sekolah pertama hanya dibuka awal tahun 1983 atau 84 kalau tak silap. Sebelum itu, sekolah terdekat hanyalah SK Felda Mayam melebihi 13 km jauhnya. Bagi mereka yang masih ingat Bas Sekolah Pak Cik Radhi berulang alik. Bagi sekolah menengah, kebanyakan akan ke Asrama Sekolah Menengah Felda Purun. 
    • Kalau tak terlupa, dulu awal2 mak ayah kita pergi muster di pejabat ladang. Atau masa baja sampai , ramai-ramai gotong royong angkat masuk lori. Dan bergerak ke ladang menaiki pula traktor yang dibawa oleh Encik Mukhtar.
    • Sistem Ladang dulu secara berkelompok sehingga penghujung 90 an sebelum hak milik diserahkan sendiri olehMenteri Besar Pahang, Dato’ Seri Adnan Yaakob di padang awam Felda Kumai.
    • Setiap kali ‘potong buah’ macam pesta dalam ladang. mak ayah bawak anak beranak potong buah. Selalunya 3 hari sahaja ’round potong buah’ dan 2 kali sebulan. SISTEM BLOK diperkenalkan untuk urusan pembahagian kawasan tanaman untuk setiap peneroka. Ada blok yang menggunakan sistem 3 ekar , 4 ekar dan 3 ekar di lokasi yang berbeza. Ada yang 4 ekar , 4 ekar dan 2 ekar bergantung dengan rupabentuk muka bumi. 
    • Membaja dalam tempoh 4 bulan sekali dengan 10 bag setiap seorang atau seekar satu bag. Paling popular baja Urea atau kami panggil garam kasar. 
    • Dahulu masa pertengahan tahun 1980 an terutamanya pada 1985-1987 , ketika harga sawit jatuh teruk, ada yang bapa-bapa kita yang bergaji kurang RM 1.00 malah ada yang negatif! Sungguh perit dan sengsara. 
    • Dulu awal bulan ‘kantin’ atau kedai Kedai Niaga Felda (Tak ingat nama betul) akan penuh dan sebelum tu siap tulis barang apa nak ambik. Kemudian pakat tunggu nombor dipanggil. Bukan nombor rumah tapi no peneroka ..no. ayah aku ..1803.. aku masih ingat.. 
    • Masa dahulu hanya berapa kerat yang ada kereta. Selebihnya satu rumah satu motor… pergi sekolah naik basikal atau jalan kaki atau orang tua ambik. 
    • Hobi bebudak masa dahulu jelas sangat bermusim, basikal , bola sepak, layang-layang dan permainan kanak-kanak malah memikat burung serindit. Manakala padang bola penuh dengan abang-abang belia bermain bola.  
    • Kalau sebut bola sepak , masa tu cukup hebat sebab abang-abang kita semua remaja yang aktif malah kalau kejohanan 7 atau 9 sebelah boleh jadi karnival besar. Felda Kumai pernah menjadi johan pasukan bolasepak antara Felda Gugusan Bera pada tahun 1989 atau 1990 dibawah jurulatih Cikgu Kamaruzaman. Perlawanan akhir di Padang Felda Sebertak dan Koperasi Felda menyediakan Lori untuk mengangkut penyokong. Aku antara penyokong yang turut sama terlibat.
    • Selain daripada itu , kalau tak silap Felda Kumai pernah menjadi pentas persembahan di Padang. Yang aku ingat Ahmad B, Haslina Kamsan… sape lagi lupa… 
    • Bekalan elektrik hanya diterima dibawah Lembaga Lektrik Negara nama TNB pada masa itu sekitar tahun 1990. Jalan di hadapan rumah mula diturap ‘crusher run’ pada tahun 1989. 
    • Pekan sehari pada hari Ahad atau lebih dikenali dengan Pekan Sari (untuk jualan pasar) pada awalnya adalah sehari suntuk tetapi pertengahan 1990, pekan sari hanya beroperasi setengah hari dan Pasar Malam mula mengambil tempat pada setiap rabu malam Khamis.

Ikuti kisah selanjutnya di catatan seterusnya…

Related Posts with Thumbnails

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>