FELDA KUMAI

Di hatiku selamanya…


 Powered by Max Banner Ads 

Felda Kumai… menjadi peneroka

Menjadi peneroka… Bagi generasi kedua yang berusia sebaya dengan saya, mungkin tidak akan dapat mengingati dengan jelas bagaimana saat awal memasuki tanah rancangan Felda. Detik ini sebenarnya amat penting dan istimewa malah merupakan langkahan besar yang dilakukan oleh ayah dan mak yang telah mengubah kehidupan kita pada hari ini. 

Mungkin bagi yang lebih tua dari saya, akan dapat mengingatinya kerana ketika berpindah ke sini, mereka sudah dialam kanak-kanak yang boleh memahami apa yang berlaku berbanding saya sekitar 6 bulan ketika berpindah ke Felda Kumai.

Namun saya mempunyai satu pengalaman yang ingin saya kongsikan mengenai ‘menjadi peneroka’ di mana saya dapat melihat dan merasainya sendiri pengalaman ini bilamana pak cik saya melapor diri di Felda Keratong 8 pertengahan 1980 an…

Kisahnya sebenarnya telah saya kongsikan di mrkumai.blogspot.com dan saya lanjutkan di sini:

Penempatan Felda – gambar pinjam Kg Felda New Zealand

Namun, aku mempunyai kisah yang lain untuk dikongsi. Kisah dari pengalaman ingat-ingat lupa aku mengenai melapor diri sebagai peneroka cuma bukan pengalaman ayah dan mak aku kerana semasa melapor diri ke Felda Kumai, aku masih dalam umur bulan lagi bukannya tahun. 

Pengalaman melapor diri ini adalah kisah benar yang di antara ‘ingat-ingat lupa’ aku mengenai Keluarga Pak Cik aku pada tahun 1985 kalau tak silap aku.

Mungkin bagi generasi kedua Felda yang lebih berusia mengingati bagaimana pengalaman keluarga mereka melapor diri dan mungkin boleh bertanya mengenainya daripada orang tua masing-masing.

Dari Kampung ke Tanah Rancangan:

Ayah aku merupakan anak sulong dari keluarganya dan mempunyai 3 adik yakni Mak Lang Endon, Pak Cik Nor dan Chu Ani.

Ayah mula merantau keluar dari Kuala Sungai Rambutan, Sungai Bayor, Selama Perak sejak berkahwin dan melata perginya sebagai buruh binaan samada di Melaka, Bentong, Kuala Lumpur sebelum mendapat peluang tawaran sebagai peneroka Felda di Felda Kumai, Triang Pahang.

Pada penghujung tahun 1979, ayah membawa keluarga kami yang ketika itu, mak, Kak Lina, Piza-abang dan Eda-kakak serta aku yang baru berusia sekitar 6 bulan ketika itu. 

Manakala Pak Cik Nor mempunyai 4 orang anak iaitu 3 lelaki dan seorang lelaki. Kak Long, Rashidah dan  Gee serta Yusri . Yang perempuan melebihi umur aku ketika itu manakala Yusri masih lagi bayi kecil.

Kesulitan hidup di Kampung di Selama Perak memang agak jelas terpancar kerana sumber hanyalah menoreh getah dan bersawah malah terpaksa berkongsi dengan adik-adik yang lain. Tambahan lagi harga getah seawal 1980 an merundum jatuh. 

Ayah yang selalu balik ke kampung bersama kami setiap tahun akhirnya tekad membawa pak cik sekeluarga ke Felda Kumai untuk kehidupan yang lebih baik pada masa yang sama memohon penempatan Felda.

Hidup di Felda bersama kami nampaknya lebih baik biarpun rumah kami kecil untuk menampung dua keluarga. Kami makan bersama, bermain bersama, tidur bersama dan segalanya bersama di rumah kecil ini biarpun agak terhad dan sempit. 

Akhirnya ayah membina kedai di kawasan perniagaan dan pak cik sekeluarga berpindah ke sana. Anak-anaknya bersekolah sama seperti kami dan menjalani kehidupan sebagai anak Felda yang lain.

Sinar bercahaya cerah menjelang tahun 1985 atau 1986 bilamana Pak Cik mendapat tawaran penempatan peneroka Felda iaitu di Keratong 8, Muadzam Shah iaitu sejauh 120 km jauhnya dari Felda kami. 

Aku tak pasti apa perasaan mereka sekeluarga tetapi bagi aku melihat kegembiraan ayah yang berusaha mendapatkan penempatan untuk adiknya itu jelas terpancar.  Aku pasti ayah aku yakin dengan kehidupan di Felda biarpun perit pada awalnya. 

Beliaulah yang ke sana sini membawa Pak Cik Nor bertemu pihak yang berkenaan. Dari Temerloh, ke Bentong dan ke Kuantan untuk memohon penempatan di FELDA. 

Melapor Diri:

Tok Wan dijemput dari Selama Perak untuk sama-sama menghantar keluarga pak cik melapor diri. Malah bukan sekadar keluarga mereka tetapi turut serta kami sekeluarga. 

Aku teringat ketika itu kereta ayah ‘Datsun Tonggek’ penuh sendat dengan keluarga besar kami bersama sebuah lagi ’Datsun Tonggek’ yang dimiliki dan dipandu oleh jiran kami Pak Ngah Lan  manakala Pak Cik Nor menaiki motor bersama Pak Cik Zaitong,  yang juga merupakan jiran tetangga kami di Felda Kumai.

Melalui Kerayong ke Felda Serting untuk ke Jalan Segamat terasa amat jauh kerana kali pertama melaluinya. Malah motor mereka rosak dipertengahan jalan memaksa kami melencong seketika ke sebuah ladang getah untuk dibaiki.

Hampir tengahari, barulah kami sampai ke Pejabat Felda Keratong 8 dan kami yang kecil ini hanya menanti di luar manakala urusan melapor diri diuruskan oleh Ayah, Pak Cik  dan juga Arwah Tok wan. 

Aku difahamkan taklimat ringkas diberikan mengenai cara hidup di Felda sebelum undian rumah dilakukan. Ayah dan rakan-rakan jiran tetangga, Pak Ngah Lan dan Pak Cik Zaitong yang sudah berpengalaman membantu Pak Cik Nor segala keperluan.

Akhirnya kami bergerak mengikuti motor kakitangan Felda tadi ke rumah yang telah diundi oleh Pak Cik. Melalui jalan tanah merah adalah situasi biasa cuma melewati kawasan rumah-rumah yang sudah dan belum berpenghuni dengan rumput dan lalang di bahagian laman depan dan belakang.

Jika anda mempunyai pengalaman sendiri sebegini khasnya ketika ayah dan ibu melapor diri di Felda Kumai..ayuh kita kongsikan...

Related Posts with Thumbnails

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>