FELDA KUMAI

Di hatiku selamanya…


 Powered by Max Banner Ads 

Hutan Simpanan Kekal Chini @ Felda Kumai

Felda Kumai terletak bersempadanan dengan kawasan hutan simpan dibahagian timur dan tenggara  dan ramai antara generasinya mungkin tidak mengetahui nama hutan simpan tersebut.

Saya masih teringat, semasa kecil ketika kami bermain-main dipinggiran hutan ini, kami akan menemui papan tanda Hutan Simpanan Kekal Chini ditampal terutamanya dilaluan masuk ke Bukit Bertangga yang asal.

Laluan asal adalah melalui di antara rumah atau Kedai Pok Ku dan Arwah Pok Mat di Blok 13. Kini laluan ini tidak lagi digunakan selepas laluan sedia ada dipindahkan melalui sempadan blok 12.

Hutan Simpanan Kekal Chini dianggarkan seluas 61,973 ha persegi  yang menjangkau antaranya ke kawasan Hutan Simpanan Kekal Chini dan Hutan Simpanan Kekal Chini Tambahan yang berkongsi sempadan Daerah Rompin dibahagian Tengara.

Ianya meliputi kawasan Felda Rentam, Kumai, Mayam  dan Bera manakala Hutan Simpanan Kekal Purun melebar ke sempadan Pekan sehinggalah ke Tasik Chini melibatkan Terapai, Mayam dan Purun.

Ianya merupakan hutan simpanan kekal yang digazetkan olej Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan sebahagian kompatmen hutan ini sekitar kawasan Felda Kumai telah dilakukan pembalakan  menjadikan sebahagianya kini adalah hutan sekunder namun kawasan Bukit Bertangga ini masih terpelihara.

Terdapat aktiviti pembalakan yang telah dijalankan sekitar compartment Bukit Bertangga pada tahun 1984 hingga 1987 yang memudahkan kami ke sana selepas itu. Catatan mengenai Bukit Bertangga akan dikongsikan nanti.

Tidak hairanlah pada awal pembukaan sehingga 1990an, masih terdapat pagar-pagar elektrik yang menggunakan kuasa bateri dipasang di sepanjang sempadan hutan dan Kampung termasuklah ladang.

Malah mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa stesen kuasa bagi pagar elektrik ini adalah berdekatan dengan Blok 17 dan ianya diselia oleh pegawai Felda secara bergilir-gilir.

Masih dapat saya ingat renjatan lemah setiap kali memegang wayar kabel pagar elektrik yang hanya dua talian sekitar tinggi 2 kaki dari tanah dan dua kaki berselang di bahagian atas dan kayu bertiangkan kayu 2 inci x 2 inci tetapi kami dimaklumkan ia akan mampu menghalang binatang liar seperti gajah, beruang, harimau dan babi jika tersentuh.

Namun bagi bintang kecil seperti biawak, musang, monyet dan sesaiz dengan mereka pastinya tidak dapat dielakkan.

Bagi mereka yang rumahnya bersempadan dengan hutan seperti blok 12, 13, 17, 19 pasti peristiwa binatang liar memasuki kawasan rumah menjadi satu kebiasaan dan jika ayam atau itik menjadi habuan kepada musang juga kisah biasa biasa jika ditengah malam ayam berkokok bersahutan.

Terdapat beberapa kes awal pencerobohan binatang liar seperti babi dan gajah khasnya di blok 12 yang kalau tak silap ingatan aku seawal 1985 terdapat pencerobohan gajah. Pernah gajah liar cuba memasuki kawasan rumah Pak Cik Rahim di blok 12 pada awal pagi sebelum beredar selepas bunyi periuk diketuk kuat.

Malah terdapat juga beruang yang ditangkap oleh Jabatan Mergastua (kini Perhilitan) dilaporkan di kawasan hutan simpanan ini. Ketika itu, mereka berpejabat di Taman Bahagia, Temerloh di mana terdapat sebuah mini zoo di sana tetapi kini telah tiada. 

Hutan Simpanan Kekal Chini ini sememangnya tebal dan menyimpan seribu satu rahsia. Namun bagi kami yang menetap di sempadan hutan ini, ianya merupakan antara taman permainan kami.

Memasuki hutan untuk mencari buah keranji, salak, kelubi, berangan, perah, kembang semangkok  dan pelbagai lagi hasil hutan merupakan sebahagian daripada aktiviti kami.

Terserempak dengan babi hutan ketika merebut rebung atau ketika mencari daun palas bukanlah kisah yang luarbiasa.

Memiliki rumah pokok yang dibina ringkas juga cukup istimewa rasanya ditambah lagi dengan menikmati makanan yang dibekalkan seolah-olah berkelah.

Tetapi ianya hanya sekitar kurang 100 meter dari kawasan sempadan. Namun saya masih ingat mengikuti ayah dan beberapa ahli blok saya seperti Haji Tukiman, Wak Kadirin, Pak Su Jaafar serta Pak Cik Zaitong memasuki kawasan hutan yang lebih dalam untuk mencari jering, kerdas dan petai ketika musimnya.

Saya masih teringat, kelibat dan kehebatan Pak Cik Zaitong memanjat pokok jering yang begitu tinggi dengan kaedah menumpang pokok-pokok sekelilinya sebelum naik ke pokok jering tersebut.

Ketika musim buah keranji, perah dan kembang semangkuk, kamilah yang paling seronok kerana menunggu buah ini akan gugur. Bagi Keranji dan buah perah, hanya perlu menunggu dibawah pokoknya tetapi kembang semangkuk pula kami perlu mencari buahnya yang jatuh beserta daun dan ditiup angin. Kadang-kala mendarat di belakang rumah jiran yang terletak disempadan hutan ini.

Kepada generasi Felda Kumai, apabila anda melihat hutan simpan di sebelah tenggara dan timur  Felda Kumai, ketahuilah, di sana tersimpan juga seribu kenangan yang masih tidak dapat dilupakan…

Related Posts with Thumbnails

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>