Ketua Blok @ Felda Kumai
Di setiap Felda, saya pasti anda akan terbiasa dengan sistem blok yang diwujudkan untuk urusan pentadbiran dan pembahagian kawasan rumah dan kawasan ladang seperti yang saya kongsikan dalam catatan system blok terdahulu.
Setiap Blok, akan mempunyai seorang Ketua Blok yang dipilih sendiri oleh ahli bloknya sebagai perantara antara pihak pentadbiran felda dan juga ahli blok.
Mereka adalah pemimpin blok masing-masing dan tanggungjawab yang dipikul amat penting sebenarnya. Saya masih teringat di blok 13 Felda Kumai , (mungkin sama dengan blok yang lain), pemilihan ketua blok dibuat oleh ahli blok melalui mesyuarat blok.
Peranan yang dimainkan selain sebagai wakil blok, juga sebagai ketua aktiviti kemasayarakatan di blok. Urusan kenduri kendara samada kenduri kahwin ataupun kenduri biasa, selalunya ketua blok akan mengetuainya.
Di awal sistem blok sebelum dianugerahkan geran individu, ketua blok memainkan peranan yang amat aktif dan sangat diperlukan dalam sistem pentadbiran Felda. Mereka merupakan perantara di antara pihak pentadbiran dan ahli blok masing-masing.
Segala maklumat aktiviti di ladang seperti tarikh memotong buah, membaja, meletakkan racun tikus serta segala maklumat mengenai hasil ladang akan dikumpulkan dan dilaporkan ke pejabat felda.
Di hari pembayaran gaji, ketua blok akan mengambil gaji bagi blok masing-masing dan akan mengagihkan kepada ahli bloknya. Cuma kadang-kala sesekali, Pihak Pengurusan Felda ingin membayarnya sendiri, maka peneroka terpaksalah hadir di pejabat Felda untuk mengambil gaji yang akan dibayar oleh Pegawai Blok masing-masing.
Cuma yang berbeza ketika ini adalah segala pembayaran gaji adalah melalui akaun bank.
Ketua Blok juga mewakili bloknya dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung atau ringkasannya JKKK yang amat memainkan peranan dalam segala isu yang berkaitan untuk diketengahkan kepada jawatankuasa ini.
Bagi blok 13, seingatan saya antara ketua blok yang pernah menjawat jawatan ini adalah Jaafar Kassim, Abdul Din, Arwah Ujang , Zaitong Awang Kechik dan Arwah Othman Awang yang meninggal ketika menjawat jawatan ketua blok.
Kini blok 13 diketuai oleh Adlan Abdul semenjak tahun 2006.
Sumbangan ketua-ketua blok amat besar cuma kadangkala tidak didendangkan…
Cuba senaraikan .. sejarah ketua blok anda di ruangan ulasan…. bolehlah kita kenang jasa dan sumbangan yang telah mereka curahkan kepada blok masing-masing dan Felda Kumai.

‹ Produk UBIMAS Enterprise @ Felda Kumai Kelapa Sawit ›