FELDA KUMAI

Di hatiku selamanya…


 Powered by Max Banner Ads 

PRU 2013: Suasana mengundi @ Felda Kumai..1

Hajatnya kami nak berkongsikan suasana sebelum hari pengundian termasuklah perang poster, kempen dan apa juga aktiviti yang berkaitan namun terpaksalah dilupakan kerana ketiga-tiga editorial nampaknya hanya dapat pulang menjelang malam hari mengundi.

PRU 133

Jadi tak sempat bagi kami membuat liputan mengenai suasana berkempen di Felda Kumai pada PRU kali ini.

Namun jika pembaca anak generasi Kumai yang mempunyai bahan untuk dikongsikan, kami amat mengalu-alukan.

Yang boleh kami kongsikan di sini adalah suasana hari mengundi iaitu pada 5 Mei 2013.

Saya seawal pagi sekitar pukul 7 pagi mula menunggang motorsikal menjengah awal ke pusat pengundian dan juga kawasan sekitar Felda Kumai. Berbekal dengan kamera di dalam raga motorsikal, niatnya sekadar untuk mengambil gambar di beberapa lokasi.

Dari blok 13 saya bergerak ke kawasan perniagaan kedai mara yang mana terletaknya dua bilik gerakan iaitu milik BN dan juga Markas PAS.

Malam sebelumnya ketika sampai di Kumai, saya sengaja memilih laluan ini untuk melihat apa yang masih berlaku di kedua-dua lokasi ini.

Ternyata walaupun sudah 11.30 malam saya melihat masih terdapat puluhan penyokong dan petugas parti yang berada di hadapan bilik gerakan masing-masing biarpun tiada aktiviti ceramah berlangsung.

Mungkin ada kerja-kerja terakhir yang perlu disiapkan.

Berbalik kepada perjalanan awal pagi saya ini, saya melewati blok 9 dan tiba di persimpangan masjid dan ternyata meriah dengan poster-poster yang dipasang oleh BN dan PAS.

Tak sempat pula untuk mengambil gambar di sini kerana ramai pula yang melaluinya. Terasa segan.

PRU 13 @ Kumai3

Melewati pula persimpangan blok 1, juga meriah dengan poster. Juga segan untuk saya berhenti di sini mengambil gambar kerana laluan trafik agak tinggi ketika itu. Ada juga yang baharu sampai.

Saya meneruskan ke laluan ke pusat mengundi dari persimpangan ini melalui blok 1 ,2 dan 3 sebelum sampai di persimpangan blok 4. Pemerhatian saya agak lengang dengan poster sepanjang laluan ini.

Namun suasananya bertukar meriah sebaik sahaja memasuki persimpangan blok 4 untuk ke pusat mengundi.

Laluan ini sedari dahulu lagi telah secara tidak rasmi merupakan laluan bagi pengundi-pengundi BN. Biasanya pengundi dari BN akan melalui laluan ini sebelum meletak motor di persimpangan blok 4 berhampiran pondok panas mereka.

Tetapi ini bukanlah laluan mutlak mereka kerana sesiapa sahaja dari apa-apa parti juga turut menggunakannya.

Suasana di laluan ini agak meriah. Poster-poster dipasang sepanjang 300 meter laluan ini sehingga ke persimpangan blok 4 yang kedua.

Bukan hanya poster BN tetapi turut juga di pasang adalah poster milik PAS yang turut berkempen. Terdapat sebuah pondok panas milik BN turut beroperasi.

Melewati pintu pagar sekolah, saya sempat berhenti untuk melihat suasana di sana. Dengan dikawal oleh dua orang pengawal keselamatan, saya dimaklumkan peti undi masih belum sampai.

PRU 13 @ Kumai5

Namun kelihatan petugas SPR telah pun berada di dalam kawasan sekolah dan bersiap sedia dengan susunan tugas masing-masing.

Ketika saya melihat ke kawasan sekitar, telah terdapat beberapa pengundi yang berusia sekitar 50-60 tahun yang telah berada di dalam kawasan sekolah dan dipondok rehat biarpun jam ketika itu menunjukkan baru sekitar 7.15 minit pagi.

Mungkin sudah bersemangat ataupun inginkan giliran mengundi awal tanpa perlu beratur panjang sebaik sahaja pusat mengundi ini dibuka.

Saya meneruskan perjalanan ke laluan menuju blok 20 dan seperti biasa laluan ini merupakan laluan tidak rasmi untuk pengundi dan penyokong dari PAS. Maka tidak hairanlah kelihatan banyak poster PAS serta Keadilan di pasang di persimpangan ini.

Sempat pula saya mengambil gambar di sini dan kebetulan bapa kepada Zaidy Abdul Talib yang mewakili PAS di N15 Taman Templer, Selangor berjalan kaki ke sekolah.

Kami berbual sekitar 5 minit dan antaranya Pak Cik Talib mengatakan, doanya sekeluarga mengiringi perjuangan anaknya di sana biarpun tidak bersama kerana ada tugas dan tanggungjawab mereka juga perlu dilunaskan di sini.

PRU 13 @ Kumai4

Apapun catatan ini sekadar perjalanan 30 minit saya di pagi Sabtu 5 Mei yang lalu sebelum waktu pengundian.

Catatan kedua, saya kongsikan pula mengenai suasana ketika pengundian berlaku.

Related Posts with Thumbnails

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>