FELDA KUMAI

Di hatiku selamanya…


 Powered by Max Banner Ads 

Rumah Terbakar @ Felda Kumai

Baru-baru ini rumah salah seorang peneroka di Felda Kumai iaitu En. Azmi di blok 3, telah mengalami kebakaran yang memusnahkan sepenuhnya ruangan dapur dan bahagian belakang rumah.

RUMAH TERBAKAR DI KUMAI

Kejadian ini disedari oleh mereka sendiri dan segera mendapat bantuan dari jiran tertangga sebelum kehadiran BOMBA. Tindakan pantas amat perlu dilakukan jika berlaku kebakaran di Felda Kumai kerana jarak yang jauh diantara felda kami ini dengan Balai Bomba yang terdekat di Triang iaitu melebih 30 km jaraknya.

Saya berkongsi sedikit pengalaman ketika menyaksikan sendiri kebakaran di salah sebuah deretan rumah papan di Bertam Valley, Cameron Highlands 2 tahun lalu. Ketika kejadian saya sedang makan tengahari di sebuah kedai di sana dan tiba-tiba ada orang menjerit kebakaran dan dengan segera beberapa orang di meja sebelah saya segera berlari keluar dan ada antaranya memandu landrover ke seberang jalan dan segera membuka post bomba sukarela mereka dan memunggahkan hampir 30 tong pemadam api. Dengan pantas juga mereka bergerak ke rumah yang terbakar yang terletak kira-kira 60 meter jaraknya dan mula memadamkan api.

Saya perhatikan juga sebuah landrover yang lain sampai dan terus menyangkut tangki air bergerak yang tersedia dan peralatan pam. Mereka menyusul ke rumah terbakar dan menyambung memadamkan kebakaran yang telah dimulakan oleh pasukan pertama yang menggunakan pemadam api. 15 minit kemudian BOMBA sampai dan mengambil alih sepenuhnya. Hanya dua buah dari 4 buat rumah deretan rumah yang terbakar dan 2 lagi terselamat dengan tindakan awal BOMBA Sukarela ini.

Mungkin satu cadangan untuk mewujudkan pasukan BOMBA sukarela boleh kita ajukan kepada pihak yang berkenaan.

Apapun kami mengucapkan takziah di atas malang yang menimpa keluarga Pak cik Azmi tersebut. Saya percaya, pihak yang berkenaan seperti FELDA, UMNO dan PAS pasti telah menghulurkan bantuan masing-masing kepada mangsa malah jirang-jiran tetangga turut tidak akan ketinggalan.

RUMAH TERBAKAR DI KUMAI En Azmi

Kepada anak-anak Felda Kumai yang ingin menyumbang dan membantu, mungkin anda boleh salurkan terus melalui orang tua anda sebagai wakil. Insyallah .. yang berat sama kita pikul dan ringan sama kita jinjing.

Bercerita mengenai kejadian rumah terbakar di Felda Kumai, kalau mengikut sejarahnya telah berlaku beberapa kali. Antaranya yang saya ingati adalah di rumah Arwah Pok Nik blok 4 di mana kami ketika itu di dalam kelas agama di Sekolah Agama Rakyat sebelum dikejutkan dengan berita kebakaran tersebut. Maka semuanya pantas berlari ke arah tempat kejadian yang sejauh lebih kurang 1 km dari sekolah agama. Mujur ketika itu mereka masih mengusahakan kedai makan bersebelahan dengan Klinik Desa Kumai dan boleh menetap di situ buat sementara. Kalau tak silap tahun 1988 atau 1989.

Kejadian keduanya yang masih saya ingat adalah kejadian rumah terbakar yang dimiliki kalau tak silap di blok 1 sekitar tahun 1990 an. Kejadian berlaku ketika jiran-jiran tertangga di blok tersebut sedang mempersiapkan majlis kenduri dan tiba-tiba rumah jiran berhampiran terbakar. Saya tidak pasti rumah yang mana satu, mungkin anda yang tahu mengenainya dapat berkongsi dengan kami di ruangan ulasan.

Allhamdulillah semuanya selamat tetapi selepas sahaja kebakaran dipadamkan, salah jiran mereka yang bertungkus lumus kepenatan dan akhirnya meninggal dunia dibawah pokok berhampiran rumah yang terbakar. Rakan-rakan peneroka yang lain cuba membantu namun sudah ajal ditakdirkan pada hari tersebut selepas berjasa membantu memadamkan kebakaran. Al Fatihah.

RUMAH TERBAKAR DI KUMAI2

Kejadian ketiga yang masih saya ingat adalah melibatkan Kedai baru En. Baduri dan Arwah Pak Yassin. Kedua-dua kedai ini dibina bersebelahan di kawasan perniagaan yang baharu dibuka di bahagian atas kawasan perniagaan Kedai Mara. Pak Cik Baduri telah membuka kedai makan dan menetap di situ manakala Arwah Pak Su Yassin masih belum berpindah ke situ. Kalau tak silap saya tahun 1990.

Kebakaran tersebut memusnahkan sama sekali kedua-dua kedai dan akhirnya hanya Pak Cik Baduri yang membina semula kedainya manakala Arwah Pak Su Yassin kekal di kedai lamanya. Kini kedai tersebut dibawah pengurusan anaknya, Shuhaimi.

RUMAH TERBAKAR DI KUMAI4

Ini antara kejadian yang saya ingat dan saya rasa terdapat beberapa kejadian kebakaran yang lain telah berlaku cuma mungkin ketika itu saya berada di asrama.

Ingat .. api semasa kecil menjadi kawan tetapi ketika besar adalah lawan…

Related Posts with Thumbnails

One thought on “Rumah Terbakar @ Felda Kumai

  • che_yusz says:

    Assalamualaikum semua warga kumai..sy sebagai anak kpd pasangan tersebut berasa terharu dengan tindakan pantas jiran2 dan org kampung yang membantu memadamkan kebakaran tersebut dan menyelamatkan brg2 yg masih boleh digunakan utk kami sekeluarga..terima kasih yang tidak terhingga kpd mereka semua yg bersatu hati menolong keluarga kami baik semasa berlaku kebakaran atau selepas kejadian itu masih ada insan mulia yg sudi meringankan bebanan kami sekeluarga..semoga ALLAH S.W.T akan membalas jasa baik tuan/puan semua…ini lah sifat yg sy bangga yg ada pd org felda kumai..walaupun ada perbezaan pendapat dan berlainan fahaman politik tetapi mereka sepakat dalam membantu utk kebaikan masyarakat spt kenduri kendara,majlis2, khairat kematian dan lain2…klu ada pun yg taksub dengan politik harap2 ia tidak akan menjejaskan penyatuan kita semua sebagai umat islam..mudahan2 semua generasi muda felda sepakat dlm menjaga keamanan felda kumai( pasukan rela@rukun tetangga yg sanggup berkawal setiap mlm di pintu gerbang spt di felda rentam contohnya..sukarelawan2 yg terdiri drpd anak2 muda felda dpt membantu dlm apa2 masalah yg timbul spt kecurian dan lain2 )..utk makluman akak dan lain2,kalau tidak silap sy..rumah yang terbakar di blok 1 yg akak maksudkan itu ialah umah en.zakaria@pak chin…rumah dia betul2 di simpang blok 1 tu..jiran yang meninggal dunia semasa membantu keluarga pak chin tu ialah arwah p.cik samsudin..anak dia fairil sebaya dgn sy masa sekolah menengah dlu pon sekelas..rumah arwah selang 3buah rumah dr rumah pak chin yg terbakar tu..tabik dgn sifat arwah yg berani dan sanggup menolong org dlm kesusahan sampai menemui ajalnya..Al-Fatihah utk arwah..semoga rohnya ditempatkan di kalangan org yang beriman.amin..p/s juga utk semua.sentiasa berhati2 dan berwaspada dengan alatan dan pendawaian elektrik di rumah kita. ia perlu diselenggara dgn baik..punca kebakaran di rumah sy disebabkan litar pintas.ada mulut2 yang tidak tau cerita sebenar membuat cerita yg aib kpd keluarga.kita tidak akan rasa sesuatu keperitan itu andai bkn kita sendiri yg merasainya..berat mata memandang, berat lagi bahu yg memikul…mudahan2 dgn kejadian ini menjadi iktibar utk kita semua..setiap berlakunya sesuatu perkara/ujian itu pasti ada hikmah disebaliknya.. insyALLAH..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>