FELDA KUMAI

Di hatiku selamanya…


 Powered by Max Banner Ads 

Peneroka pelawa kilang bersemuka

FELDA KUMAI – Peneroka di sini mahu Felda ataupun kilang Felda membuka pintu rundingan berkaitan Kadar Perahan Gred (KPG) yang didakwa berlaku penyelewengan menyebabkan mereka menghadapi kerugian.

Walaupun tidak bersetuju segelintir peneroka di kawasan lain mengambil tindakan undang-undang untuk menyelesaikan masalah ini tanpa rundingan, isu KPG ini telah lama diperkatakan dalam kalangan peneroka dengan pengurusan Felda tetapi jalan penyelesaian masih buntu.

Seorang peneroka, Baiduri Fakir, 61, berkata, peneroka di sini telah beberapa kali membangkitkan isu KPG ini kepada pihak Felda tetapi seperti ada sesuatu yang menghalang jalan penyelesaian menyebabkan peneroka rasa tertipu malah beranggapan wujud penyelewengan dalam pengurusan di kilang.

Menurutnya, tindakan peneroka di kawasan lain yang menggunakan undang-undang tidak dapat dielakkan tetapi bagi peneroka di sini, mereka mahu menggunakan rundingan secara bersemuka supaya dapat menjaga imej kedua-dua belah pihak.

“Kita minta pihak Felda dan pengurusan kilang Felda membuka pintu kepada peneroka untuk mengadakan rundingan secara bersemuka supaya kemelut KPG ini dapat diselesaikan dengan cara baik.

“Sebenarnya, kami telah mengemukakan masalah ini secara terus kepada pihak atasan Felda sendiri kerana tidak berpuas hati dengan KPG yang diterima peneroka tetapi isu ini tidak pernah selesai,” katanya kepada Sinar Harian.

Mungkin berlaku penyelewengan
Baiduri mendakwa, kemungkinan KPG di kilang Felda di sini mungkin berlaku penyelewengan namun peneroka tidak mempunyai bukti yang kukuh mengenai perkara itu.

Katanya, peneroka yang menghantar hasil sawit ke dua kilang yang berbeza akan mendapat KPG yang berbeza walaupun dari kualiti buah yang sama.

Menurutnya, sekiranya peneroka menghantar hasil ke Kilang Sawit Kepayang, mereka mampu memperoleh KPG sehingga 20.50 peratus berbanding Kilang Sawit Triang yang hanya mencecah semaksimum 19.50 peratus walaupun kualiti buah yang dihantar adalah sama.

“Apabila perkara ini dimaklumkan kepada pihak atasan Felda, peneroka diarahkan supaya tidak lagi menghantar hasil sawit ke Kilang Sawit Kepayang sebaliknya hanya ke Kilang Sawit Triang sahaja,” katanya.

Beliau berkata, berikutan arahan itu, sedikit sebanyak ia turut menjejaskan pendapatan peneroka tetapi mereka masih akur dengan arahan itu dan cuba mendapatkan masa yang sesuai untuk berunding.

Alasan kilang tidak munasabah

Sementara itu, Jamni Sulaiman, 54, berkata, walaupun peneroka cuba membangkitkan rasa tidak puas hati kepada pihak kilang, pelbagai alasan diberikan sehingga menyebabkan ada peneroka yang tawar hati dengan isu ini dan reda dengan apa yang berlaku.

Katanya, bagaimanapun, isu ini tetap menjadi perbualan seharian peneroka lebih-lebih mengenai alasan yang didakwa tidak munasabah.

“Pada peringkat awal, apabila isu KPG dibangkitkan, mereka (pihak kilang) memberitahu buah sawit belum cukup matang dan berkualiti, malah mereka meminta peneroka bersabar sehingga usia pokok mencecah lima tahun ke atas.

“Tetapi, apabila peneroka menghantar hasil setelah pokok dewasa, alasan lain pula diberikan iaitu perahan minyak tidak penuh sehingga pokok tua diberitahu perahan minyak tidak bagus untuk membolehkan peneroka mendapat KPG yang tinggi,” katanya.

Jamni berkata, jika buah sawit yang dipetik ketika pokok muda atau tua, mungkin alasan itu kukuh tetapi sebaliknya buah sawit yang dipetik dari pokok yang matang juga bermasalah, sudah tentu menimbulkan rasa keraguan di hati peneroka.

Katanya, seharusnya masalah KPG ini tidak timbul kerana KPG hanya dikira setelah buah muda atau buah rosak diketepikan sebelum perahan dilakukan dan ini bertentangan dengan alasan yang diberikan pihak kilang.

Minta kilang berunding

Mohd Akir Ahmad, 60, berkata, jika masalah ini tidak diselesaikan dengan segera, tidak mustahil peneroka di sini akan mengikut jejak langkah peneroka yang pernah menyaman Felda.

Katanya, kemenangan kes mahkamah peneroka Felda Kemahang seolah-olah menjadi satu perintis kepada peneroka yang lain untuk berbuat demikian jika pihak kilang masih berdiam diri mengenai perkara ini.

“Sepatutnya, apabila isu seperti ini menjadi kes mahkamah, pihak kilang perlu mengambil inisiatif untuk mencari jalan penyelesaian dengan mengadakan rundingan dan penjelasan kepada peneroka.

“Sebenarnya, tindakan undang-undang bukannya boleh diselesaikan dalam sehari dua tetapi mungkin bertahun-tahun dan ini akan menjejaskan imej Felda sendiri,” kata Mohd Akir.

Dia berkata, peneroka di sini bukannya mahu menentang mengenai sistem pengurusan kilang Felda tetapi berharap isu KPG ini tidak lagi menjadi isu besar seperti hari ini.

Katanya, tindakan pihak kilang menolak permintaan peneroka untuk rundingan tidak sewajarnya berlaku jika mereka benar-benar telus dalam hal ini.

Mohd Akir berkata, peneroka hanya mahu ketulusan pihak kilang mengenai isu ini sama ada buah sawit peneroka benar-benar tidak berkualiti atau sebaliknya dan berharap, masalah ini tidak diselesaikan melalui undang-undang mahkamah.

SUMBER: SINAR HARIAN

Related Posts with Thumbnails

, , ,

3 thoughts on “Peneroka pelawa kilang bersemuka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>