FELDA KUMAI

Di hatiku selamanya…


 Powered by Max Banner Ads 

Anak Felda bergelar usahawan

FELDA KECHAU SATU – Anak peneroka atau generasi kedua Felda perlu merebut peluang yang ada di tanah rancangan sama ada membabitkan diri dalam sektor perladangan atau menjadi usahawan dalam bidang tertentu.

Seorang anak peneroka yang kini bergelar usahawan mengecat kereta di Felda Kechau Satu, Mohd Mazni Rais, 42, berkata, peluang yang disediakan Felda wajar direbut generasi kedua jika mereka ingin mengubah kehidupan.

Menurutnya, sudah sampai masanya generasi kedua sepertinya berusaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan kedua orang tua.

“Dengan kemahiran yang ada dalam bidang ini (mengecat kereta), saya tidak perlu lagi bergantung kepada tanah ladang milik ibu bapa saya.

“Justeru, saya menasihatkan generasi kedua yang masih muda, merebut peluang yang tersedia dan mereka perlu berinovasi jika ingin berjaya sebagai anak peneroka,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Mazni berkata, dia membuka bengkel mengecat kereta sejak 1997 dengan bermodalkan RM10,000, hasil duit simpanannya.

Katanya, dengan modal itulah dia membina bengkel dan membeli peralatan untuk mengecat pelbagai jenis kenderaan.

“Peringkat awal agak sukar untuk memperoleh pelanggan apatah lagi wujudnya persaingan kerana banyak kedai yang sama di bandar Kuala Lipis dan kawasan Gugusan Kechau sendiri.

“Tetapi berkat keyakinan dan usaha bersungguh-sungguh, di samping menjaga kualiti perkhidmatan, akhirnya saya memperoleh ramai pelanggan untuk mengecat kereta,” katanya.

Walaupun berdepan kesukaran pada peringkat permulaan, Mohd Mazni bersyukur kerana dia menerima bantuan daripada Felda bernilai RM5,000 menerusi Skim Inisiatif Usahawan Felda.

Sebelum membuka bengkel di Felda Kechau Satu, Mohd Mazni merupakan pelajar lepasan Giat Mara dalam bidang kimpalan dan mengecat kereta serta pernah menimba pengalaman di DRB Hicom, Shah Alam, Selangor dan Pekan selama beberapa tahun sebelum kembali ke kampung (Felda) untuk membuka bengkelnya sendiri.
Dia berkata, dalam tempoh sebulan, bengkelnya berupaya mengecat empat kereta dengan memperoleh pendapatan antara RM1,200 hingga RM2,000 untuk sebuah kereta termasuk kimpalan dan kerosakan lain.

“Saya kembali ke kampung (Felda) bukan untuk menumpang orang tua, tetapi ingin berdikari menerusi bidang keusahawanan apabila Felda sendiri menawarkan pelbagai peluang peniagaan.

“Hari ini saya telah buktikan apabila hidup keluarga mula terjamin, malah perniagaan ini ada tanda-tanda mengorak maju pada masa akan datang,” katanya.

Bapa kepada empat orang anak ini berhasrat untuk menceburkan diri dalam perniagaan menjual alat ganti kenderaan pula, di samping berusaha memajukan bengkel sedia ada dan melatih belia di Felda Kechau Satu supaya masalah pengangguran di situ dapat dikurangkan.

Sumber : Sinar Harian Online Edisi Pahang

Related Posts with Thumbnails

,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>