FELDA KUMAI

Di hatiku selamanya…


 Powered by Max Banner Ads 

Belia Felda perlu ubah sikap

Bantu kerajaan lahirkan ramai golongan profesional Melayu

FELDA SEBERTAK – Belia Felda tidak terkecuali menghadapi cabaran masa depan namun ia bergantung sepenuhnya kepada mereka untuk menanganinya.

Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Sebertak, Datuk Mohd Azizan Che Omar berkata, belia bertanggungjawab membantu kerajaan merealisasikan matlamat negara untuk mewujudkan ramai golongan profesional Melayu dalam pelbagai bidang.

Menurutnya, belia perlu bersikap lebih terbuka untuk terus meningkatkan ilmu pengetahuan bermula di peringkat sekolah sehingga universiti di mana ia tidak terhenti apabila memiliki kerjaya yang baik.

“Kemajuan bangsa Melayu pada masa sekarang adalah bergantung kepada pendidikan dan perkara ini perlu dijadikan agenda nombor satu yang perlu dilaksanakan kerajaan dengan membina modal insan kelas pertama.

“Sebenarnya, bangsa Melayu banyak ketinggalan dalam soal ini. Jadi, mereka perlu lebih peka mengenai permasalahan sekiranya tiada profesional Melayu pada masa akan datang,” katanya selepas Majlis Penilaian Anugerah Belia Felda Malaysia (ABFM) 2010.

Mohd Azizan berkata, ramai dalam kalangan belia yang masih belum mempunyai kesedaran itu malah mereka lebih terpengaruh dengan perkara negatif sehingga memudaratkan diri sendiri.

Katanya, sekiranya tidak mempunyai pegangan hidup atau matlamat, mereka akan mudah hanyut mengikut trend negatif itu.

“Kita jangan terlalu khayal dengan perkara-perkara yang boleh menghanyutkan diri hingga terkeluar daripada landasan disasarkan kerajaan.

“Belia perlu menonjolkan keupayaan, berani, berdikari dan merancang untuk mencapai matlamat walaupun menghadapi kesusahan. Saya percaya ia mampu dilaksanakan atas kekuatan yang ada pada orang Melayu,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, belia Felda perlu aktif dalam melaksanakan setiap perancangan di kawasan masing-masing.

Katanya, golongan belia seharusnya tidak hanya menunggu orang yang sama melaksanakan tanggungjawab itu kerana mereka juga mempunyai kudrat untuk membantu menjayakannya.

“Sikap sebegini hanya akan merugikan diri sendiri malah tidak akan membantu melonjakkan kemajuan bangsa Melayu ke peringkat lebih baik,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE

Related Posts with Thumbnails

, ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>