FELDA KUMAI

Di hatiku selamanya…


 Powered by Max Banner Ads 

Gajah Betina Liar Ditangkap

BERA 3 Jun – Peneroka tanah rancangan Felda Mayam dekat sini lega apabila seekor gajah liar yang sering merosakkan tanaman kelapa sawit dan getah mereka akhirnya berjaya ditangkap, Ahad lalu.

Gajah betina itu adalah salah seekor daripada sekawan gajah liar yang ditangkap oleh anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan dipindahkan dari kawasan itu ke Taman Negara berhampiran Tasik Kenyir semalam.

Pengurus Rancangan Felda Mayam, Mohd. Jonid Isam berkata, sekawan gajah liar itu sering kelihatan di kawasan tanah rancangan Felda Mayam, Purun dan Terapai dekat sini.

Lebih membimbangkan kata beliau, kehadiran gajah-gajah liar itu turut mengundang bahaya dan mengancam nyawa peneroka apabila haiwan itu semakin berani menceroboh masuk kawasan kediaman penduduk beberapa kali.

“Banyak tanaman musnah berikutan serangan gajah liar itu tetapi Felda dan Perhilitan kerap melakukan rondaan dari semasa ke semasa bagi memastikan gajah itu tidak terus memusnahkan tanaman dan mengganggu penduduk.

“Pada tahun ini sahaja, sebanyak 182 batang pokok sawit dimusnah oleh gajah-gajah tersebut dan ia melibatkan kerugian bernilai RM10,920,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohd. Jonid, sepanjang tahun lalu, penduduk menanggung kerugian kira-kira RM78,000 selepas kira-kira 1,300 pokok sawit dimusnahkan akibat serangan gajah-gajah liar berkenaan.

Dengan tertangkapnya gajah liar itu katanya, ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kemusnahan tanaman penduduk.

Bagaimanapun ujarnya, terdapat tiga ekor gajah liar lagi yang masih berkeliaran di kawasan Hutan Simpan Purun.

“Kita akan memberi kerjasama kepada Perhilitan untuk menangkap gajah liar yang masih berkeliaran agar penduduk tidak lagi bimbang atau mengalami kerugian,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Khairiah Mohd. Shariff berkata, pihaknya akan menangkap dan memindahkan baki tiga ekor gajah liar itu ke kawasan lain dalam waktu terdekat ini.

Katanya, walaupun tugas menangkap dan memindahkan gajah liar bukan perkara mudah tetapi pihaknya akan bertindak apabila menerima laporan mengenai kehadiran haiwan itu.

“Perhilitan akan menganggarkan usia dan berat gajah berdasarkan saiz tapak kaki dan maklumat itu penting supaya kita bersedia dengan jumlah dos ubat penenang yang akan kita berikan melalui cara tembakan kepada haiwan berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, perbelanjaan keseluruhan memindahkan gajah liar ke Taman Negara Tasik Kenyir, Terengganu adalah sebanyak RM45,000 termasuk kos operasi, makanan, perubatan, kenderaan dan persediaan lain.

Sumber : Utusan Online Edisi Wilayah Timur

Related Posts with Thumbnails

, , ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>