Jangan tumpu satu jenis sukan
BERA – Masyarakat perlu menyemarakkan semangat kesukanan supaya dapat melahirkan lebih ramai atlet di daerah ini.
Pengerusi Majlis Belia Daerah, Safie Yahya berkata, masyarakat khususnya belia mesti mempelbagaikan penglibatan mereka dalam semua jenis sukan, supaya populariti sukan tidak bertumpu pada satu jenis sukan sahaja.
Sebagai contoh katanya, sukan bola sepak dan futsal merupakan sukan paling popular, tetapi tidak semestinya semua lapisan masyarakat menumpukan pada sukan itu sahaja.
“Tidak salah jika mahu menumpukan pada satu jenis sukan, tetapi biarlah serius kerana kerajaan membelanjakan peruntukan yang besar dalam usaha memajukan arena sukan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, kerajaan menyediakan tujuh padang futsal di seluruh Bera dan ia perlu dimanfaatkan dengan baik.
Katanya, bagi sukan lain pula, masyarakat boleh menggunakan kemudahan yang disediakan di Kompleks Rakan Muda seperti gelanggang bola jaring, badminton dan skuasy untuk meningkatkan kemahiran mereka.
Beliau yakin, dengan semangat kesukanan yang ditonjolkan semua lapisan masyarakat, bidang sukan dapat dimajukan, malah dapat meningkatkan pembangunan belia dan daerah dalam bidang berkenaan.
SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE

‹ Yayasan Felda peruntuk RM275,000 Nuzul al-Quran dan Lailatul Qadar ›