Masjid Felda Bukit Bading terbaik
KUALA TERENGGANU – Masjid Felda Bukit Bading, Hulu Terengganu telah diberi pengiktirafan sebagai masjid terbaik peringkat kebangsaan dalam kawasan tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) baru-baru ini.
Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Abdul Malib Abdul Rani berkata, dengan pengiktirafan itu, masjid Bukit Bading telah mendapat hadiah tunai RM50,000 untuk melaksanakan aktiviti dan pengubahsuaian masjid.
“Kejayaan ini memperlihatkan kerjasama baik antara ahli jawatankuasa masjid dan jemaah di situ sehingga dapat menewaskan 327 buah masjid di seluruh Felda di Malaysia,” katanya.
Menurutnya, kriteria pemilihan masjid itu sehingga dinobatkan masjid terbaik adalah dari segi bilangan jemaah setiap kali waktu solat, akaun masjid yang diuruskan dengan baik dan tahap kebersihan.
“Selain itu, keistimewaan masjid itu juga adalah mempunyai satu rumah musafir dalam pekarangan masjid bagi memudahkan individu yang datang dari jauh berehat di situ,” katanya.
SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE

‹ Kadar Zakat Fitrah Yayasan Felda peruntuk RM275,000 ›