FELDA KUMAI

Di hatiku selamanya…


 Powered by Max Banner Ads 

Penduduk FELDA Purun kecewa JBA Pahang berhelah

BERA: Slogan Kampungku Syurgaku mungkin sukar dinikmati penduduk tanah rancangan FELDA Purun, dekat sini jika masalah bekalan air yang dihadapi lebih sedekad lalu, terus menghantui kehidupan mereka.

Masalah itu kerap berlaku kepada sebahagian daripada 437 peneroka FELDA yang tinggal di kawasan tinggi itu hingga ada yang mendakwa anak dan cucu mereka tidak berminat pulang berhari raya kerana bimbang terpaksa berdepan masalah bekalan air.

Jika perkara itu berlarutan, mereka juga bimbang hubungan kekeluargaan semakin renggang dan sukar mengadakan majlis keramaian sesama ahli keluarga.

Mereka mendakwa masalah gangguan bekalan air itu sudah berlarutan hampir 20 tahun lalu dan setiap kali aduan dibuat kepada Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang, mereka sering menerima alasan yang sama iaitu masalah paip pecah, kerosakan mesin penyedut air dan ketiadaan bekalan elektrik.

Keadaan itu menyebabkan peneroka terpaksa berusaha mengatasinya sendiri termasuk menyediakan tangki air, membina kolam bersimen, menggali telaga dan mengangkut air dari sungai berhampiran.

Malah, mereka juga mendakwa terpaksa mengeluarkan kos sendiri bagi mendapatkan khidmat pengusaha lori persendirian bagi mengangkut air jika berlaku kejadian kematian atau mengadakan kenduri yang memerlukan bekalan air bersih yang banyak.

Seorang peneroka, Othman Salleh, 57, berkata anak serta cucunya kurang berminat balik ke tanah rancangan FELDA kerana masalah bekalan air.

Katanya, setiap kali sebelum pulang ke kampung, mereka akan bertanya mengenai bekalan air dan meminta supaya memastikan bekalan air pulih kerana tidak mahu menghadapi kesulitan untuk mandi, solat dan mendapatkan air minuman.

“Saya terpaksa menyediakan sembilan tangki air dan setiap satunya boleh menyimpan 1,000 gelen air bagi memastikan bekalan mencukupi sekiranya anaknya pulang ke sini.

“Saya sudah membelanjakan lebih RM10,000 bagi pemasangan saluran paip serta membina tempat meletakkan tangki air,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Beliau yang mempunyai tujuh anak serta 8 cucu sanggup berbelanja untuk memastikan mereka boleh balik ke kampung terutama musim cuti persekolahan atau perayaan seperti sambutan Aidilfitri.

Seorang lagi peneroka, Lagiman Jamil, 64 berkata, mereka tidak puas hati dengan masalah bekalan air di kawasan tanah rancangan FELDA yang sering terputus.

Katanya, ada peneroka yang tinggal di kawasan tinggi mendakwa mereka tidak mendapat bekalan air lebih dua bulan hingga terpaksa mendapatkan bekalan air sungai sejauh lebih enam kilometer.

“Pelbagai cara sudah dilakukan termasuk membuat aduan kepada JBA, wakil rakyat dan pegawai pembangunan daerah namum belum ada tindakan sewajarnya diambil.

“Peneroka risau sekiranya keadaan berlarutan masalah hubungan kekeluargaan menjadi semakin renggang kerana anak dan cucu mereka tidak berminat balik ke tanah rancangan FELDA ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Kawasan Guai, Norol Azali Sulaiman, berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan bantuan kewangan dari kerajaan Pusat sebanyak RM50 juta untuk menaik taraf saluran paip air di kawasan tanah rancangan FELDA berkenaan.

Katanya, buat masa ini permohonan itu belum diluluskan dan agensi pembangunan daerah sedang berusaha untuk membaiki sistem bekalan air bersih.

“Selain itu, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) turut menyediakan 32 lori tangki untuk membekalkan air ke rumah kediaman pada peneroka yang tinggal di kawasan tinggi.

“Langkah sementara ini dilakukan bagi membantu meringankan masalah dihadapi peneroka terutama apabila menyambut perayaan atau ingin mengadakan majlis keramaian,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN ONLINE

Related Posts with Thumbnails

, , , ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>