FELDA KUMAI

Di hatiku selamanya…


 Powered by Max Banner Ads 

Tingkatkan taraf hidup peneroka

WAN Salman Wan Ismail (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang melawat kawasan Parlimen Kuala Krau, Pahang, baru-baru ini. – utusan/Salehudin mat rasad



UTUSAN: Bagaimana dengan pengekalan status Bandar Jengka sebagai milik penuh usahawan bumiputera terulung di negara ini ?

WAN SALMAN: Memang diakui Bandar Jengka sangat istimewa kerana 100 peratus peniaganya terdiri daripada orang Melayu yang bersaing sesama sendiri dalam bidang perniagaan.

Malah Bandar Jengka dianggap sebagai ‘lombong emas’ kepada pengusaha dan peniaga.

Dengan peluang yang diberi kerajaan itu, ada peniaga di sini berstatus jutawan dan mampu duduk sama tinggi dengan peniaga bukan Melayu.

Pengekalan status Bandar Jengka sebagai bandar bumiputera bergantung kepada kehendak peneroka dan peniaga itu sendiri untuk sama-sama mempertahankan status itu pada masa akan datang.

Namun demikian usaha untuk pengekalan status milik bumiputera ’1 Bandar Jengka’ semakin tercabar berikutan pengaruh persekitaran dan iklim politik negara.

Walaupun Bandar Jengka di tengah-tengah rancangan Felda tetapi ada kecenderungan warganya berbelanja di luar Felda seperti Jerantut dan Temerloh. Apa nasihat Yang Berhormat (YB).

WAN SALMAN: Warga Felda harus mempunyai semangat jati diri berbelanja di Bandar Jengka selari dengan hasrat untuk mengekalkan status bumiputera.

Perkara ini membolehkan edaran wang peneroka dapat dinikmati peniaga di sini.

Dilaporkan sejak dahulu lagi jutaan ringgit sebulan telah mengalir keluar.

Pada masa sama peniaga perlu mempelbagaikan produk berkualiti, murah, ‘bermuka manis’ dan perkhidmatan yang dapat memuaskan hati pelanggan bagi mengelakkan mereka lari berbelanja ke bandar lain yang berhampiran hampir setiap bulan.

Untuk memaju dan memakmurkan Bandar Jengka perlu dimainkan oleh peniaga dan masyarakat setempat bukan bergantung kepada kerajaan semata-mata.

Sejak pembubaran Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) pada 1996, Bandar Jengka dan sekitarnya seolah-olah terbiar.

WAN SALMAN: Sekilas pandang memang ada kebenarannya tetapi kerajaan tetap menyalurkan peruntukan khas ke kawasan terbabit melalui projek rangsangan ekonomi pada tahun lalu membabitkan peruntukan sebanyak lebih RM8 juta.

Tahun ini kerajaan menyediakan peruntukan khas sebanyak RM15 juta untuk kawasan bekas LKWJ.

Bandar Jengka mendapat RM9.8 juta untuk pelbagai projek kecil seperti melebarkan jalan, gerai, lampu isyarat, pasar borong baru, membaiki longkang dan meningkatkan keceriaan.

Kita menetapkan supaya 60 peratus peruntukan itu digunakan untuk projek baru seperti lampu isyarat, gerai dan lain-lain yang menampakkan ada perubahan kepada pembangunan Bandar Jengka dan sekitarnya.

Apakah langkah YB untuk menarik golongan muda untuk memberi sumbangan terhadap pembangunan Bandar Jengka?

WAN SALMAN: Memang diakui golongan muda adalah aset negara yang sangat penting. Golongan cendekiawan telah berpesan bahawa untuk melihat apakah bentuk negara akan datang, lihat kualiti generasi itu hari ini.

WAN Salman Wan Ismail (dua dari kanan) memberi sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2010 kepada seorang penerima si Wisma Peneroka Bandar Jengka, Pahang.



Saya selaku aktivis belia yang menyandang jawatan di peringkat nasional seperti Naib Presiden 1 Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), ada cara untuk mendekati golongan ini agar tidak terpengaruh gejala negatif dari pelbagai sumber seperti media baru.

Antara strategi yang digunakan adalah membina tiga Kompleks Sukan Komuniti (KSK) bernilai hampir RM500,000 di Felda Jengka 15, Jengka 21 dan Bandar Jengka.

Ini tidak termasuk yang telah dibina oleh Felda di Jengka 14 iaitu gelanggang futsal.

Bercakap mengenai kecenderungan generasi baru Felda sekarang untuk memiliki rumah sendiri terutama yang berkeluarga dan tidak mahu lagi tinggal bersama ibu bapa. Apa pandangan YB dalam soal ini.

WAN SALMAN: Felda sangat memahami keperluan rumah kediaman kepada generasi baru Felda yang berkeluarga.

Dalam hal ini penduduk dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka mempunyai dua projek Perumahan Warga Felda (PWF) di Felda Jengka 11 dan Felda Jengka 19.

Di Jengka 19, projek sedang rancak dijalankan tetapi projek pangsapuri di Jengka 11 mengalami masalah teknikal.

Walaupun terdapat tanah kosong di tanah rancangan Felda yang sesuai dibina rumah kediaman tetapi kawasan itu terikat dibawah Akta GSA 1960 yang melarang pembinaan bangunan lain.

Kerajaan negeri dan Felda ada mekanisme untuk mengatasi masalah itu.

Apakah langkah YB dalam mengatasi masalah kekurangan rumah kediaman dan premis perniagaan di Bandar Jengka ketika ini.

WAN SALMAN: Bandar Jengka semakin berkembang pesat kesan positif daripada kewujudan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang membabitkan lebih 5,000 pelajar.

Ini menimbulkan banyak tuntutan mendapatkan rumah sewa. Maka tidak hairan ada pensyarah terpaksa menyewa di Bandar Jerantut dan Temerloh.

Bagi mengatasi masalah itu dalam jangka panjang, kerajaan bercadang membina lebih banyak projek perumahan bercampur di kawasan yang dikenal pasti di Jengka.

Pihak swasta dipelawa merebut peluang memajukan Bandar Jengka termasuk membuka kilang.

Apakah perancangan YB untuk merancakkan jaringan ekonomi Wilayah Jengka.

WAN SALMAN: Satu aspek yang tidak boleh dinafikan ialah faktor rangkaian jalan raya dan komunikasi serta kemudahan asas untuk memakmurkan bandar dan keselesaan penduduk di kawasan ini.

DUN Jengka telah memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Antaranya menaik taraf jalan utama dari Kampung Awah-Bandar Jengka-Jerantut, mengatasi masalah air dan sebagainya.

Satu projek perintis Janakuasa Biomas bernilai jutaan ringgit berasaskan tandan kosong kelapa sawit di Felda Jengka 9 sebagai tenaga elektrik alternatif untuk kegunaan industri dan perumahan di negeri ini.

Projek usahasama Felda dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan J-Power Jepun itu dikenali sebagai FTJ Biopower Sdn. Bhd., dijangka beroperasi akhir 2011 dengan mengambil tandan kosong kelapa sawit dari enam kilang di Wilayah Jengka yang kini aktif beroperasi.

Tenaga elektrik daripada biomas hasil teknologi Jepun itu memberi lonjakan baru kepada Felda untuk mempelbagaikan aktiviti yang dapat memberi peluang pekerjaan kepada generasi baru Felda di seluruh negara.

Apabila beroperasi, bekalan sumber tenaga itu dibekalkan atau dijual kepaa TNB dengan kadar harga 21 sen sekilowatt sejam yang sekali gus dapat memberi kemudahan elektrik lebih murah kepada peneroka dan industri.

Bagaimana dengan sektor industri di Wilayah Jengka?

WAN SALMAN: Wilayah Jengka mempunyai tapak industri seluas lebih 100 hektar yang masih kosong.

Sekarang hanya terdapat sebuah kilang dari Jepun beroperasi yang menawarkan lebih 2,000 pekerja.

Kerajaan negeri terusn menarik pelabur di kawasan industri Bandar Jengka yang disediakan LKWJ.

Jengka mempunyai tenaga buruh berpendidikan yang ramai dari kalangan generasi baru Felda.

Pembukaan lebih banyak kilang memberi peluang pekerjaan kepada generasi muda Felda.

Kini ramai tenaga produktif berhijrah ke negeri lain. Fenomena ini jika berterusan akan merugikan masyarakat Felda.

Komitmen Felda yang menawarkan kursus asas kemahiran selama enam bulan dalam pelbagai bidang turut meningkatkan nilai tambah tenaga mahir dan separuh mahir dari kalangan anak peneroka Felda.

Secara umumnya sektor industri di Bandar Jengka perlu dijenamakan semula sejajar dengan keperluan semasa berikutan semakin ramai generasi baru Felda memerlukan pekerjaan.

Kita tidak boleh bergantung kepada satu atau dua kilang sahaja. Seboleh-bolehnya tenaga muda yang produktif ini tidak keluar kerana sumbangan mereka sangat diperlukan dalam sektor perladangan, penternakan dan industri.

Wilayah Jengka dianggap sebagai Bandar Ilmu di Pahang berikutan wujudkan UiTM) Pahang. Bagaimana YB melihat kewujudannya menyumbang kepada pembangunan Jengka.

WAN SALMAN: Memang diakui UiTM Pahang menjadi katalis kepada kerancakan pembangunan Bandar Jengka.

Bilangan mahasiswa dan pensyarah lebih 6,000 orang dan dijangka bertambah berkali ganda tidak lama lagi telah membantu memakmurkan Bandar bumiputera ini.

Kuasa beli mahasiswa, pensyarah dan warga Felda telah menjadikan Bandar Jengka sentiasa sibuk terutama pada hari-hari tertentu.

Premis makanan dan perniagaan lain sentiasa penuh dengan pelanggan yang terdiri daripada warga UiTM.

Pada masa sama, anak-anak peneroka dapat melihat sebuah universiti hebat berada di depan mata.

Ini menjadi pendorong kepada mereka untuk turut berdaya saing merebut tempat pengajian di sini.

Pentadbiran UiTM yang sentiasa mengadakan pelbagai program dan terbuka kepada masyarakat Jengka menjadi pendorong kepada generasi baru untuk mencapai keputusan cemerlang dalam akademik.

Bagaimana dengan perkembangan projek PWF Siantan Jengka 19 dan Felda Melati Jengka 11.

WAN SALMAN: Projek PWF di Felda Siantan Jengka 19 membabitkan peruntukan RM19.1 juta sedang dilaksanakan bagi memenuhi keperluan rumah kediaman generasi baru Felda.

Pelaksanaan projek PWF itu sekali gus menolak dakwaan pembangkang bahawa ia hanya ‘umpan’ pilihan raya umum lalu sebaliknya ia selaras dengan gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Kerja-kerja pembinaan di kawasan seluas 38 hektar sedang rancak dijalankan membabitkan 188 unit rumah kos rendah, 77 unit rumah kos sederhana dan lapan unit premis kedai setingkat.

Projek itu dijangka siap mengikut jadual pada pertengahan tahun 2012 bagi menampung keperluan rumah kediaman generasi baru Felda di wilayah ini.

Pelaksanaan projek itu membuktikan kerajaan tidak pernah mungkir janji malah tetap melaksanakannya selaras dengan gagasan 1Malaysia.

Bagi projek sama di Felda Melati Jengka 11 pula membabitkan peruntukan RM16 juta di kawasan seluas 8.1 hektar bakal dilaksanakan sebaik sahaja mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Sepatutnya projek di tanah rancangan itu telah dilaksanakan awal tahun ini tetapi disebabkan kajian struktur tanah yang lembut menyebabkan projek itu terpaksa ditangguhkan.

Pengundi DUN Jengka majoritinya terdiri daripada peneroka. Namun sejak kebelakangan ini ada pihak begitu ghairah memburuk-burukkan Felda dan pemimpin kerajaan. Apa pendapat YB.

WAN SALMAN: Kita dengan sokongan Felda, badan bukan kerajaan (NGO) dan warga Felda sendiri berusaha menangkis tohmahan dan persepsi negatif terhadap kerajaan dan Felda.

Sebagai contoh, warga Felda sendiri membantah tohmahan anasir itu seperti isu Felda bankrap.

Warga Felda memahami kedudukan sebenar mereka yang kini menjadi komuniti contoh dalam bidang ekonomi, sosial, pendidikan dan struktur masyarakat tersusun kepada masyarakat luar.

Oleh itu, warga Felda tidak perlu membuang masa melayani sebarang tohmahan yang cuba meruntuhkan tamadun yang telah dibina sebaliknya kekal bersama Felda dan kerajaan bagi menambahkan lagi kemakmuran dinikmati sekarang.

Apa nasihat YB kepada warga Felda khususnya di Wilayah Jengka.

WAN SALMAN: Warga Felda dianggap sangat bertuah kerana mereka sentiasa mendapat perhatian langsung daripada kerajaan.

Kesanggupan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ‘menaungi’ Felda membuktikan golongan peneroka sangat dekat di hati pemimpin nombor satu negara itu.

Warga Felda perlu mengambil peluang dan kesempatan itu untuk bersama-sama Perdana Menteri untuk memartabat dan mengangkatkan lagi imej dan kedudukan agensi ini di mata dunia.

Sebanyak 75 penambahbaikan diperkenalkan Perdana Menteri sejak 2004 bertujuan mengangkat kedudukan warga Felda dalam bidang sosioekonomi.

Kita tidak mahu ada kalangan warga Felda yang menjadi liabiliti kepada kerajaan. Malulah kepada Perdana Menteri yang sangat komited untuk memakmurkan masyarakat Felda.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Related Posts with Thumbnails

, ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>