Sekolah Kebangsaan (LKTP) Kumai
Seperti Felda yang lain di seluruh Malaysia, Felda Kumai juga memiliki sekolah kebangsaannya sendiri dan jasanya kepada semua generasi Felda Kumai tidak terbilang dan terhitung terutamanya bilamana kita mengimbas kembali jasa dan pengorbanan guru-gurunya yang turut sama berkampung di sini demi tugas dan amanah yang diberikan…
Memetik dari laman mrkumai.blogspot.com yang pernah membuat catatan bersempena sambutan hari guru..
Felda Kumai mula dibuka seawal 1979 dengan sekitar 500 buah keluarga. Catatan penuh mengenai Felda Kumai boleh anda ikuti dengan mengklik di SINI.Ketika pembukaannya kemudahan pendidikan ketika itu masih belum siap sepenuhnya dan bagi generasi awal Felda yang sudah mencapai usia persekolahan, pasti akan sentiasa teringat pengalaman perit getir mereka berulang alik ke Felda Mayam untuk sekolah rendah atau ke Sekolah Menengah Felda Purun untuk sekolah menengah dengan menaiki bas sekolah yang juga uzur yang dipandu oleh Pakcik Radzi blok sembilan.
Mereka akan melalui jalan raya masih bertanah merah melebihi 12 km yang menghubungkan ketiga-tiga felda ini setiap hari. Malah bayangkan jika musim hujan mereka kerapkali tersangkut di jalanan dan ketika musim panas, debu merah menemani perjalanan mereka.
Jika bas rosak di pertengahan jalan, maka traktor FELDA yang dipandu oleh En. Moktar, salah seorang kakitangan Felda akan menjemput dan menyambung perjalanan mereka samada pergi ataupun pulang. Lebih memeritkan lagi, jika hujan ataupun panas, semuanya akan terdedah kerana trailer tiada berbumbung.
Bagi yang layak, asrama di Sekolah Menengah Purun akan menjadi penginapan mereka. Saya sebenarnya ingat-ingat lupa kerana bukan saya yang mengalami semua pengalaman ini tetapi sekadar secebis ingatan kepada kesusahan kakak sulong saya ketika itu.
Malah ayah saya pernah menceritakan kepada saya ketika kami dalam perjalanan pulang dari Kluang, rumah kakak dan ketika itu kami melalui kawasan sekitar Serting yang terdapat sebuah ladang atau estate kelapa sawit yang daunnya berwarna merah di sepanjang laluan masuknya kerana debu jalan utamanya.
Mungkin sekilas memandangnya, ayah teringatkan semula kisah awal berpindah dan katanya kepada saya bahawa kakak saya menangis setiap hari ketika mula berpindah ke Felda Kumai kerana tidak dapat menyambung persekolahannya seperti dikampung. Malah ketika arwah Tok Wan datang menziarahi kami, merayu-rayu beliau kepada arwah Tok Wan untuk ikut pulang ke Selama, Perak semula kerana ingin ke sekolah.
Akhirnya, ayah dapat menempatkan kakak sulong saya itu ke SMK Purun dengan kemudahan asrama. Ini kisah yang saya ingat dan dapat dari orang tua saya.
Jika anda sebahagian dari lapisan generasi ini yang mengalami kesemua kisah getir, saya mengalu-alukan anda berkongsi pengalaman anda di ruang ulasan dan penceritaan saya ini sekadar dari sedikit ingatan dan dikongsi dari kisah kakak sulong saya.
Sekolah Kebangsaan (LKTP) Kumai ini dibuka sekitar tahun 1981 atau 1982 (kalau tak salah saya) dengan hanya blok tunggal dibina beserta dengan Kantin.
Kemudian blok ke dua setingkat dibina dan pada tahun 1986 blok ketiga juga setingkat di bina bagi menampung jumlah pelajarnya. Ketika itu sekadar binaan pasang siap sahaja.
Guru-guru yang berjasa:
Dengan pengalaman yang ada dan ditambah dengan semangat baru di kalangan lepasan Maktab Perguruan pastinya akan tercabar dengan cabaran kesusahan hidup yang perlu ditempuhi di Felda Kumai.
Maka di waktu pagi atau tengahari bukan sekadar murid-murid berjalan kaki atau berbasikal ke Sekolah tetapi turut sama disertai oleh guru-guru meredah debu-debu jalan tanah merah atau lecak air dikala musim hujan.
Biasanya setelah beberapa bulan barulah mereka mampu membeli motorsikal untuk ke sekolah. Itupun bukannya motor baru tetapi terpakai dan saya masih teringat lagi kisah Cikgu Supian dan Cikgu Khairuddin bertembung ditengah jalan berhampiran blok 12 kerana motor masing-masing tidak berlampu.
Bila keputusan bekalan air, mereka akan mencari perigi dan sumber air yang lain. Malamnya mereka akan bergelap sama seperti peneroka yang lain ataupun berkongsi generator. Untuk keluar ke bandar Triang ataupun Temerloh, pastinya mereka akan menggunakan bas yang sama digunakan iaitu Tanjong Keramat dengan tambang RM 2.50-3.00 sehala.
Mereka bermain bola bersama belia saban petang, terlibat dalam kenduri kendara, bermasyarakat dengan penduduk tempatan malah berkesempatan sebilanganya menjadi ‘peneroka’ felda yang berjaya.
Malah kedua cikgu inilah yang bertungkus lumus memakaikan saya persalinan baju pengantin dan masih saya teringat kepada Cikgu Sudin yang berulangkali memasangkan sampin mengikut ikatan Johor.
Terima kasih Cikgu!!!.
Mungkin ada yang masih ingat Cikgu Sabri Islam yang pernah patah kakinya kerana bermain bola dan kecekapan Cikgu Ng mengawal gawangnya serta garang di dalam kelas sehinggakan ada kes menampar murid yang pernah begitu ‘hot’ satu ketika dahulu.
Pelapis guru yang awal turut menghimpunkan Cikgu Azmi, Cikgu Daud, Cikgu Jailani yang akhirnya berkahwin dengan Cikgu Salina, Cikgu Ferhad, Cikgu Zaini, serta Cikgu Razak, guru besar yang pencen di sekolah ini.
Pasti tidak akan terlupa kepada Cikgu Fuad yang asalnya cikgu muzik yang terpaksa mengajar dua sessi sebelum kehadiran Cikgu Supian tetapi menjadi Cikgu Bahasa English yang hebat dan isterinya, Teacher Rodziah yang saya anggap ‘the best English Teacher’ dengan ungkapan popularnya “stupid like hell”.
Untuk mendengar sepatah bahasa melayu dari beliau merupakan satu keajaiban jika berlaku ketika beliau mengajar bahasa Enggeris beserta dua anak kembar mereka yang kini cantik jelita dan dikhabarkan telah berkahwin.
Saya masih ingat bagaimana marahnya Cikgu Fuad kepada kami kerana tidak dapat menghafal perkataan Past Tense, Future Tense dan sebagainya semasa kelas tambahan intensif. Kecewanya beliau kerana ketika itu beliau berulang alik dari Felda Kumai ke Hospital Mentakab kerana isterinya menanti saat untuk bersalin tetapi demi tugas masih lagi tetap pulang ke Kumai untuk kelas tambahan tersebut.
Ketibaan Guru Besar dari sekolah Menengah Purun sekitar tahun 1990 iaitu Cikgu Manaf telah berjaya mengubah lanskap dan kejayaan UPSR dengan rekod 12 pelajar mendapat 4A tahun 1990 dan ketika inilah bekalan elektrik sepenuhnya diterima di Felda Kumai.
Beliau agak popular dengan memanggil ‘pelajar’ bukannya ‘murid’ kerana telah lama mengajar di sekolah menengah. Malah beliau memberikan penekanan kepada pelajaran dan juga kebersihan maka tidak hairanlah beliau menganugerahkan ‘pokok angkat’ kepada semua kelas untuk dijaga.
Jangan lupa kepada Cikgu Sufian yang gila-gila dan sempoi dan juga pasti teringat kepada kegarangan Ustaz Hamid dan kelembutan Isterinya yang juga Ustazah Rohani. Dikhabarkan kini bertugas di PPD Bera.
Juga kepada Cikgu Ridzwan dari Perlis yang menjadi ‘technician’ Pusat Sumber dengan ‘Radio Sekolah’ di waktu rehatnya.
Cikgu Norbimah Aziz juga merupakan cikgu yang agak lama bertugas di sekolah ini dan kami menyaksikan bibit-bibit percintaan beliau dan suami, En. Misbari. Kisahnya saya masih simpan sehingga kini dan tok dalangnya adalah Cikgu Supian.
Pasangan serumah Cikgu Norbimah ketika itu pastinya ketika itu adalah Cikgu Norasyikin yang kalau tidak silap saya anak kepada salah seorang YB dari negeri Perak. Manakala seorang lagi Cikgu Norasyikin berkahwing dengan salah seorang kakitangan Felda Niaga yang tidak saya ingat namanya.
Kemudian saya melihat sinar sekolah ini bertambah seri dengan kehadiran lapisan guru-guru baru yang baru tamat dari Maktab pada tahun 1990 seperti Cikgu Nazri (yg kini diibaratkan sudah lupa Kampungnya di Telok Intan) , Cikgu Ahmad Shakri, Cikgu Roslee, Cikgu Khairuddin, Cikgu Naimah dan Cikgu Sabri Nawi dan …., (saya akan recall balik nama-nama ini kemudian).
Bermula dari A, B, C hingga ke Z atau 1,2,3 sehingga tanpa penghujung malah bukan sekadar Alif, Ba dan Ta atau bukan sekadar yes dan no yang menjadi permulaan kepada kami ketika itu.
Kini semuanya mampu berdiri di kaki sendiri dengan pelbagai jawatan ataupun tidak berjawatan tetapi mampu membina keluarga dan menyumbang kepada negara. Benar, masih ada yang tercicir dan usah dipersalahkan kepada guru-guru yang berjasa ini kerana semuanya bergantung kepada diri sendiri dan yang utamanya dariNya.
Bagi guru-guru ini, mereka adalah insan yang biasa yang berjaya mengubah insan biasa yang lain menjadi luarbiasa dan melebihi mereka. Tiada yang menuntut dan mendabik dada sumbangan mereka kepada mereka ini.
Bagi kita, ayuh kita sentiasa menghargai mereka. Jika tidak kepada semua bekas guru, mungkin ada seorang atau dua yang sentiasa dikenang selamanya..
Bagi saya, saya amat menghargai guru-guru yang telah berjasa kepada saya samada secara langsung ataupun tidak…
Terima Kasih Cikgu…
(MOHON PEMBACA DARI FELDA KUMAI menambah nama guru-guru yang saya tertinggal di ruangan ulasan. Saya sekadar sehingga tahun 1990 sahaja).

‹ Jalan Raya @ Kumai Online bersama Generasi Felda Kumai… ›
Terima kasih penulis…saya bertugas di SK Kumai 1.1.1988 hingga 1992 sebagai Penyelia Petang…terharu membaca coretan anda…Kumai masih tersemat di hatiku…kini saya bertugas di Bagan Jermal Butterworth dan akan bersara wajib pada 8.4.2018…
Sekolah yang mendidikku pada 1980 hingga 1984. Banyak kenangan manis ditempuhi yang menjadikan diriku seorang pegawai kanan ATM di Inspektorat Jeneral ATM Kementerian Pertahanan sekarang. Terima kasih bekas guru yanh menabur bakti.
sekolah felda kumai semakin meriah ke .saya budak dulu yang sekolah kat kumai .nama saya hanafi bin nordin.